Saturday 20 September 2014

Salah siapa.

Hanim baru sahaja pulang dari kelas. Dia kelihatan penat kerana kelasnya bermula dari awal pagi sampailah 5 petang. Kokurikulum pada waktu petang sangatlah memenatan. Dia menukar pakaian, lantas menuju ke bilik air. Berwuduk. Takut tertidur kerana kepenatan, nanti solat asarnya tertinggal pula.

"Hanim, basuh pinggan mangkuk. Dan banyak dalam sinki tu. Aku nak masak makan malam kejap lagi" pesan Mak Timah.

"Ye mak, nanti Hanim basuh"

Selesai berwuduk, dia menuju ke biliknya. Menunaikan solat asar.

Selesai solat kedengaran ibunya menjerit, "Hanim!!!!"

Hanim lantas menuju ke dapur.

"Mak dah suruh kau basuh pinggan mangkuk ni. Apa kau pergi buat ha? Tak paham ke apa aku cakap?!"

"Mak, tadi Hanim solat jap mak" balas Hanim dengan nada takut. Dia tahu apa yang bakal berlaku nanti.

Mak Timah lantas mengambil hanger, lalu dipukul badan Hanim.

"Engkau ni degil, tak dengar cakap aku. Nah rasakan ni"

"Makkk, maafkan Hanim mak. Hanim janji tak buat lagi. Janganlah pukul Hanim, mak"

Berkali-kali badan Hanim menerima pukulan dari Mak Timah. Dia cuba mengelak namun apa lah daya anak kecil yang berusia 12 tahun itu.

Hanger patah. Hanim menangis teresak-esak di hujung dinding. Badannya berbirat dengan pukulan dari Mak Timah. Mak Timah berhenti memukul.

"Aku dah pesan dengan kau, dengar cakap aku ni. Aku dah bagi kau makan, tempat tinggal, tapi kau tu tak reti diuntung. Basuh pinggan mangkuk tu sekarang"

Mak Timah berlalu ke ruang tamu. Hanim menuju ke sinki dan membasuh segala pinggan mangkuk yang ada. Itu bukan kali pertama dia dipukul sebegitu, selama ni hampir hari-hari dia dipukul sampai berbirat-birat badannya. Belum lagi parut pukulan yang lama hilang, telah pun diganti dengan parut pukulan yang baru.

Dalam diam, jiwa Hanim semakin tertekan. Walaupun air mata masih lagi berlinangan, dia tetap meneruskan kerjanya.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Malam itu Hanim masih berjaga walaupun jam sudah menjangkau pukul 2 pagi. Dia masih mengulangkaji pelajaran memandangkan peperiksaannya makin hampir. Tiba-tiba kedengaran dari luar biliknya,

"Aku nak kahwin lain. Aku dah bosan dengan rumah ni. Bosan tengok muka kau. Badan gemuk, hitam" beritahu Pak Mat.

"Abang nak kahwin lain? Abang bukannya bekerja. Hidup kat rumah ni pun bil air, bil eletrik, sewa rumah, semua saya yang bayar. Duit kereta Abang tu pun saya yang bayar" bebel Mak Timah.

"Ahhh, peduli apa aku" balas Pak Mat.

"Abang jangan nak macam-macam. Saya tak izinkan" marah Mak Timah.

Panggg!

Kedengaran kuat bunyi tamparan dari luar bilik. Teresak-esak suara Mak Timah menangis apabila Pak Mat memberitahu keinginannya ingin berkahwin lain.

Hanim mendengar tiap perbualan dan apa yang berlaku dari dalam bilik. Dia merasa tertekan. Acap kali ayahnya memukul ibunya. Ini bukan kali pertama ayahnya bersikap begitu. Keinginan ayahnya berkahwin lain membuatkan dirinya merasa semakin tertekan. Ayahnya ingin berkahwin lain, padahal ayahnya sudah lama tidak bekerja. Hari-hari ayahnya hanya meminta duit daripada ibunya.

"Kak Hanim, Kak Hanim, teringat apa tu?" terdengar satu suara memanggilnya.

Hanim terjaga dari lamunannya. Tiba-tiba dia ketawa terbahak-bahak. Tiba-tiba riak mukanya berubah sedih.

"Makkk, maafkan Hanim mak. Hanim janji tak buat lagi. Janganlah pukul Hanim, mak". Dia terduduk di bucu dinding dan mengelak seolah-olah seseorang ingin memukulnya.

"Kak Hanim, kenapa ni Kak? Ini saya lah, kak. Ini Dr Ija" balas Dr Ija.

"Dr Ija? Dr Ija tolong akak. Mak akak nak pukul akak ni. Tolong akak doktor" Tangan Hanim memaut tangan Dr Ija kuat.

"Ye, saya tolong Kak Hanim. Mari ikut saya meh." pujuk Dr Ija. 

"Kak Hanim duduk kat katil ni ya, makan ubat ni lepastu tidur ya" pujuk Dr Ija lagi.

Hanim hanya menurut. Tidak lama kemudian dia tidur lena di salah satu katil disitu.
Dr Ija tersenyum kelat. Tak tahu siapa yang harus dipersalahkan. Kasihan Kak Hanim. Sejak kecil dia didera oleh ibunya, Dr Ija melihat lengan Kak Hanim. Masih ada kesan parut di lengannya yang dicurah minyak panas oleh ibunya sendiri.

Salah siapa. 

Siapa sangka dipukul sejak kecil boleh menyebabkan seseorang itu tertekan dan menjadi salah seorang penghuni ni Ward Mental ini. Siapa sangka? Dan semua ini salah siapa?

Thursday 18 September 2014

Ward sakit jiwa.

Ward Mental-Ward orang gila. Terlalu banyak persepsi negatif membuatkan aku meletakkan persepsi aku sendiri. Membuatkan aku menjadi seorang yang prejudis terhadap para penghuninya. Aku seolah-olah telah membuat satu persepsi sendiri tentang mereka. 

Harini hari pertama aku lawat Ward Mental di Hospital Kuala Lumpur. Takut juga bila aku tengok ada yang ketawa tiba-tiba, ada yang diam tak berganjak, ada yang pandang macam nak makan orang. Aku memerhatikan mereka dengan pandangan berhati-hati, seolah-olah mereka itu orang yang akan melakukan keganasan bila-bila sahaja. Jujur aku katakan, aku takut dan rasa tak selesa. 

Masuk sahaja di ward perempuan, ada beberapa orang mula mengerumuni kami. Mulanya aku takut. Aku hanya mendengar kakak itu berbual dengan kawanku. Namun kerana kakak itu ramah dengan jenakanya, aku mula rasa terhibur. Perlahan-lahan rasa takutku makin kurang. Aku mula ketawa mendengar jenaka kakak itu. Aku mula rasa selesa dan berani memulakan bicara.

Aku mengambil peluang untuk berborak dengan kakak itu. Pelbagai soalan aku tanya. Terkadang geram juga rasa hatiku bila lain ditanya, lain dijawab. Tetapi mengenangkan dia manusia yang kekurangan, aku sabarkan hatiku untuk mendengar ceritanya. Tak apalah, sabar. Nyata kesabaran aku berhasil. Dia mula bercerita apa yang terjadi. Mula cerita tentang kisah hidupnya. Mula bercerita tentang dirinya. Aku hanya mendengar. Memerhati segala tingkah lakunya. Memerhati moodnya yang sering berubah-ubah. Dari 8 pagi sampailah 11.30 pagi perbualan kami tentang macam-macam cerita. 

Kelu. Itu sahaja yang boleh aku katakan. Di sebalik lawak jenakanya, senyumannya... rupanya ada beribu kisah duka yang menjadikan dia seperti sekarang. Kesengsaraan yang tidak dapat dilihat dari mata kasar. Keperitan hidup yang tersembunyi disebalik perangainya sekarang.

Benarlah, "Kita gelak bila tengok perangai dia, tapi kita tak sedar kesengsaraan yang dia alami. "

Terpagut juga rasa hatiku bila dia luahkan apa yang ingin dia lakukan jikalau mampu berpatah balik, jikalau Tuhan beri peluang untuk dia betulkan kesilapan dia. Tuhan, berilah syurga untuk dia. 

Sunday 7 September 2014

Plaster of Paris.

Harini hari pertama aku di Klinik Orthopedik. Berbaju kurung polka dot dan berkasut coklat. 

"Dah lama punya kasut ni. Bila entah nak ada duit beli kasut baru". Luah dalam hati. Sebenarnya aku bukan tak ada kasut yang baru. Cuma aku selesa dengan kasut ini. Mudah untuk berlari dan tidak letih bila berjalan.

Setibanya di Klinik aku menjalankan tugas aku sebagai penuntut ilmu. Aku mengikuti seorang doktor perempuan yang ramah dan muda. Giliran orang pesakit berkerusi roda dengan kaki yang bersimen. Muda. Bapanya kelihatan risau, ibunya pula tidak pernah berjauhan pesakit itu. 

"Doktor, boleh tak kalau nak bukak simen kaki ni? Boleh tak kalau tak payah dah pakai simen ni?Ahad ni saya dah nak balik Sabah". Tanya anak muda itu, bersungguh.

"Sekejap ya, saya tengok dulu keputusan X-Ray yang baru ni. Saya nak tengok tulang kaki ni macammana". Doktor menjawab sambil tersenyum. Kelihatan anak muda itu begitu mengharap.

Doktor beralih menghadap komputer. ID number ditekan. Mukanya berkerut hairan. Kerutan yang menjadi tanda tanya, mengapa dan kenapa. Pesakit menanti sabar. Doktor perempuan itu keluar memanggil seorang Doktor yang lebih tahu. Specialist.

"Kita bukak dulu simen ni, kita tengok keadaannya macammana. Kalau okay, kita bukak. Kalau tak, kita pasang balik lah buat sementara waktu"

Anak muda itu tersenyum hambar. Dirasakan harapannya kurang.

Masuk ke bilik procedure simen ditanggalkan. Terkejut. Luka dikakinya semakin teruk. Berdarah merah. Lahir bau yang kurang menyenangkan. Anak muda itu berkerut menahan sakit. 

Terasa jantungku berdegup. Aku sendiri terkejut. 

Ibunya memarahinya. "Itulah dah cakap, jangan digaru. Dia ni Doktor, garu luka tu pakai lidi. Lidi penyapu tu. Kita dah pesan jangan diusik jangan digaru. Dia ni degil"

Kedengaran juga MA yang memasangkan simen membebel memarahinya. Muka anak muda itu kelihatan kesal. Nasi sudah menjadi bubur.

"Luka ni dik. Bahaya ni tak boleh nak pasang balik simen ni. Kita akan buat separuh jelah simen, bahagian atas luka ni kita balut je. Tunggu sampai luka tu kering kemudian kita akan simen semua. "

Dia hanya menurut. Dia sudah tidak punya pilihan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dia masih akan pulang ke Sabah dengan kaki berbalut. Ataupun dia mungkin bakal menangguhkan semesternya. Keadaan kakinya menyukarkan aktiviti sehariannya.

Itulah. Sudah dilarang, berlagak pandai. Inilah akibatnya. Aku harap keadaan yang sama tidak akan berulang. Sama ada pesakit ini atau pesakit yang sama.

Ada sebab kenapa melarang. Bukan saja-saja untuk menyusahkan.

Kerana Allah.

Aku rasa nak balik. Terlalu lama cuti membuatkan hati aku rasa makin malas untuk duduk di sini terlalu lama. Saja aku berjalan menjenguk doktor yang sibuk membuat round. Tiba-tiba seorang temanku menghampiri seorang pesakit Cina yang tua.

"Pakcik, siapa nama pakcik?". Ramah temanku memulakan bicara.

" Ng Chun Huan*"

"Ohhh. Pakcik ingat saya tak? Saya ada jumpa pakcik kat stesen bas."
Ah ramah pulak sahabat aku seorang ni. Aku senyum. Takpelah. Sekadar bertanya-tanya. Pakcik itu pun kelihatannya mesra. Senyumanku dibalas. Hatiku senang.

Sedang elok berbual, aku hanya pendengar setia. Tidak terasa untuk menyampuk bila temanku kedengaran gembira berbual dengannya. Lagi-lagi bilaku dengar nada pakcik itu senang iramanya.

"Ada hantu tolak maa. Pakcik berdiri tiba-tiba terjatuh. Sudah 78 tahun pakcik hidup. Ini jatuh masih hidup Allah yang tolong pakcik"


"Allah yang tolong pakcik."

"Pakcik berserah pada Allah. Allah yang panjangkan umur pakcik"

"Semua Allah yang tolong. Allah yang selamatkan pakcik"

"Semua Allah punya kuasa"


Temanku ketawa. Aku juga. Mungkin cara bicaranya agak lucu.

Tapi kebenaran yang tersirat buat hatiku tersentap.

Saat dia jatuh, dia berkata Allah yang selamatkan nyawanya.

Tapi saat aku yang terjatuh? Adakah aku berkata "Allah selamatkan aku?" Sedangkan jatuhku, jatuh yang bisa bangkit.

Apa agama pakcik ini masih menjadi persoalan. Temanku juga masih tertanya. Apatah lagi aku. Sengaja kami tidak bertanya takut mengganggu sensitivitinya. Sekali lagiku pandang namanya di kepala katil. Apa lah ada pada nama. Sedangkan agama itu tentang kepercayaan.

Tapi hati aku terasa aku rapuh. Entah kenapa aku rasa imanku masih lemah.

*Ng Chun Huan bukan nama sebenar.

tentang aku.

Berpipi tembam. Rendah. Kecil. Seorang hamba Allah. Seorang anak sulung kepada 5 orang adik. Seorang anak kepada ibu si tukang jahit. Seorang penuntut ilmu di universiti tempatan. Seorang yang penuh dengan kekurangan. Seorang yang masih belajar tentang liku kehidupan.

Bukan wang yang aku cari, tapi kebahagiaan.
Bukan balasan yang aku cari, tapi senyuman.

Aku sekadar doktor di jalanan. Menuntut ilmu untuk mencari redha Tuhan. Memberi jalan agar ada nyawa dapat disembuhkan. Tapi aku bukan penyembuh penyakit, penyembuh penyakit itu Dia. Aku hanyalah perantara.