Sunday, 7 September 2014

Plaster of Paris.

Harini hari pertama aku di Klinik Orthopedik. Berbaju kurung polka dot dan berkasut coklat. 

"Dah lama punya kasut ni. Bila entah nak ada duit beli kasut baru". Luah dalam hati. Sebenarnya aku bukan tak ada kasut yang baru. Cuma aku selesa dengan kasut ini. Mudah untuk berlari dan tidak letih bila berjalan.

Setibanya di Klinik aku menjalankan tugas aku sebagai penuntut ilmu. Aku mengikuti seorang doktor perempuan yang ramah dan muda. Giliran orang pesakit berkerusi roda dengan kaki yang bersimen. Muda. Bapanya kelihatan risau, ibunya pula tidak pernah berjauhan pesakit itu. 

"Doktor, boleh tak kalau nak bukak simen kaki ni? Boleh tak kalau tak payah dah pakai simen ni?Ahad ni saya dah nak balik Sabah". Tanya anak muda itu, bersungguh.

"Sekejap ya, saya tengok dulu keputusan X-Ray yang baru ni. Saya nak tengok tulang kaki ni macammana". Doktor menjawab sambil tersenyum. Kelihatan anak muda itu begitu mengharap.

Doktor beralih menghadap komputer. ID number ditekan. Mukanya berkerut hairan. Kerutan yang menjadi tanda tanya, mengapa dan kenapa. Pesakit menanti sabar. Doktor perempuan itu keluar memanggil seorang Doktor yang lebih tahu. Specialist.

"Kita bukak dulu simen ni, kita tengok keadaannya macammana. Kalau okay, kita bukak. Kalau tak, kita pasang balik lah buat sementara waktu"

Anak muda itu tersenyum hambar. Dirasakan harapannya kurang.

Masuk ke bilik procedure simen ditanggalkan. Terkejut. Luka dikakinya semakin teruk. Berdarah merah. Lahir bau yang kurang menyenangkan. Anak muda itu berkerut menahan sakit. 

Terasa jantungku berdegup. Aku sendiri terkejut. 

Ibunya memarahinya. "Itulah dah cakap, jangan digaru. Dia ni Doktor, garu luka tu pakai lidi. Lidi penyapu tu. Kita dah pesan jangan diusik jangan digaru. Dia ni degil"

Kedengaran juga MA yang memasangkan simen membebel memarahinya. Muka anak muda itu kelihatan kesal. Nasi sudah menjadi bubur.

"Luka ni dik. Bahaya ni tak boleh nak pasang balik simen ni. Kita akan buat separuh jelah simen, bahagian atas luka ni kita balut je. Tunggu sampai luka tu kering kemudian kita akan simen semua. "

Dia hanya menurut. Dia sudah tidak punya pilihan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dia masih akan pulang ke Sabah dengan kaki berbalut. Ataupun dia mungkin bakal menangguhkan semesternya. Keadaan kakinya menyukarkan aktiviti sehariannya.

Itulah. Sudah dilarang, berlagak pandai. Inilah akibatnya. Aku harap keadaan yang sama tidak akan berulang. Sama ada pesakit ini atau pesakit yang sama.

Ada sebab kenapa melarang. Bukan saja-saja untuk menyusahkan.

No comments:

Post a Comment