Thursday, 18 September 2014

Ward sakit jiwa.

Ward Mental-Ward orang gila. Terlalu banyak persepsi negatif membuatkan aku meletakkan persepsi aku sendiri. Membuatkan aku menjadi seorang yang prejudis terhadap para penghuninya. Aku seolah-olah telah membuat satu persepsi sendiri tentang mereka. 

Harini hari pertama aku lawat Ward Mental di Hospital Kuala Lumpur. Takut juga bila aku tengok ada yang ketawa tiba-tiba, ada yang diam tak berganjak, ada yang pandang macam nak makan orang. Aku memerhatikan mereka dengan pandangan berhati-hati, seolah-olah mereka itu orang yang akan melakukan keganasan bila-bila sahaja. Jujur aku katakan, aku takut dan rasa tak selesa. 

Masuk sahaja di ward perempuan, ada beberapa orang mula mengerumuni kami. Mulanya aku takut. Aku hanya mendengar kakak itu berbual dengan kawanku. Namun kerana kakak itu ramah dengan jenakanya, aku mula rasa terhibur. Perlahan-lahan rasa takutku makin kurang. Aku mula ketawa mendengar jenaka kakak itu. Aku mula rasa selesa dan berani memulakan bicara.

Aku mengambil peluang untuk berborak dengan kakak itu. Pelbagai soalan aku tanya. Terkadang geram juga rasa hatiku bila lain ditanya, lain dijawab. Tetapi mengenangkan dia manusia yang kekurangan, aku sabarkan hatiku untuk mendengar ceritanya. Tak apalah, sabar. Nyata kesabaran aku berhasil. Dia mula bercerita apa yang terjadi. Mula cerita tentang kisah hidupnya. Mula bercerita tentang dirinya. Aku hanya mendengar. Memerhati segala tingkah lakunya. Memerhati moodnya yang sering berubah-ubah. Dari 8 pagi sampailah 11.30 pagi perbualan kami tentang macam-macam cerita. 

Kelu. Itu sahaja yang boleh aku katakan. Di sebalik lawak jenakanya, senyumannya... rupanya ada beribu kisah duka yang menjadikan dia seperti sekarang. Kesengsaraan yang tidak dapat dilihat dari mata kasar. Keperitan hidup yang tersembunyi disebalik perangainya sekarang.

Benarlah, "Kita gelak bila tengok perangai dia, tapi kita tak sedar kesengsaraan yang dia alami. "

Terpagut juga rasa hatiku bila dia luahkan apa yang ingin dia lakukan jikalau mampu berpatah balik, jikalau Tuhan beri peluang untuk dia betulkan kesilapan dia. Tuhan, berilah syurga untuk dia. 

No comments:

Post a Comment